KUALA TERENGGANU: Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu membuat persediaan rapi bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pada minggu kedua November ini.

Peralihan monsoon timur laut tersebut akan mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Terengganu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, seramai 600 anggota termasuk pegawai berserta 50 buah bot dan 15 unit lori sedia untuk digerakkan ketika musim banjir.

Selain itu Mohd Rosman berkata kapasiti pusat pemindahan banjir pada tahun 2021 ini telah dikurangkan kepada 50 peratus berbanding tahun 2020 bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika tempoh pandemik COVID-19.

"Kalau dulu kita boleh penuhkan pusat pemindahan itu dengan mangsa mangsa banjir dan untuk tahun ini kita terpaksa amalkan SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN jadi kapasiti di pusat pemindahan itu akan akan berkurang 50 peratus.

"Kita akan cuba untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 ini daripada terus berpanjangan jadi dariPADA segi bilangan pusat pemindahan kalau mengikut laporan daripada JKM, insyaAllah kita mampu menampung mangsa banjir untuk tahun ini," katanya.

Mengikut rekod terdahulu, kira-kira 12,000 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu ketika musim tengkujuh tahun lepas.

Mohd Rosman berkata banjir pada tahun ini dijangka akan berlaku di antara empat hingga enam episod.