KUALA TERENGGANU: Terengganu akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital untuk terus mempromosi destinasi pelancongan di negeri itu sebagai lokasi selamat dan rendah risiko penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, usaha itu penting dalam meningkatkan keyakinan orang ramai agar datang bercuti ke Terengganu dan merancakkan kembali industri pelancongan domestik terutama di pulau peranginan dan Tasik Kenyir.

"Orang ramai perlu diberi keyakinan bahawa semua penggiat industri telah menerima suntikan dos lengkap dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh penguat kuasa jabatan dan agensi kerajaan agar aktiviti pelancongan tidak menjadi punca kepada kluster baharu COVID-19.

"Selain tumpuan program vaksinasi di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir, kita juga dimaklumkan oleh Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Terengganu bahawa semua pekerja di hotel yang berdaftar juga sudah ada tarikh janji temu untuk menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan topik 'Pelancongan Pasca Pandemik: Bersediakah Terengganu?' malam tadi.

Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri berada di fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya dibenarkan membabitkan aktiviti di homestay dan hotel bermula 10 Ogos lepas.

Ariffin, bagaimanapun berkata kebanyakan pengusaha pelancongan di pulau peranginan dan Tasik Kenyir tidak terburu-buru membuka semula operasi pada Selasa lepas (10 Ogos) sebaliknya mahu membuat persediaan lebih rapi di premis masing-masing.

"Ada pemilik premis yang maklumkan kepada saya mereka mahu pelancong yang datang untuk membuat ujian calitan terlebih dahulu sebagai langkah lebih berhati-hati kerana tidak mahu risiko premis ditutup selepas beroperasi kelak.

"Begitu juga dengan pemantauan di jeti-jeti pelancongan yang akan dilakukan penguat kuasa di setiap daerah agar pelancong patuh SOP termasuk bilangan individu dalam bot mestilah mengikut kuota dibenarkan sahaja," katanya.

Selain pematuhan SOP lebih ketat dan proses vaksinasi menyeluruh untuk penggiat industri pelancongan, Ariffin berkata kerajaan negeri juga sedang menguji satu aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kesihatan dikenali sebagai AI Batuk.

"Berdasarkan kajian awal dilakukan, kes penularan COVID-19 di Terengganu berpunca daripada aktiviti rentas negeri, jadi kita mahu menggunakan teknologi AI Batuk ini di pintu sempadan negeri agar dapat mengesan tahap kesihatan seseorang individu itu lebih awal.

"Sekiranya positif COVID-19, individu itu perlu membuat rawatan terus ke fasiliti kesihatan berdekatan. Ini antara usaha kerajaan negeri mengekang penularan COVID-19 dari luar Terengganu sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai untuk melancong ke Terengganu," katanya.

-- BERNAMA