KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memperhebatkan kempen kesedaran kepada orang ramai termasuk pelancong bagi melindungi hidupan marin khususnya penyu dari berdepan pelbagai ancaman.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah yang dilakukan itu bagi menggelakkan jumlah hidupan itu terus berkurangan sehingga diancam kepupusan.

Katanya antara faktor yang menyumbang kepada kematian haiwan itu dilaporkan berpunca daripada plastik hasil pembuangan sampah sarap, terkena kipas bot dan sebagainya.

"Jadi mana-mana yang berkait dengan boleh kita buat terutama dengan plastik dan juga usaha berterusan daripada pihak kerajaan supaya para nelayan tidak membuang plastik dan pelancong  tidak membuang plastik di dalam air.

"Yang kedua tentang bot ini kadang-kala orang bot sendiri tak perasan apabila bot mereka terkena penyu jadi buat masa ini masih lagi dalam proses mendidik, memberi peringatan kepada para nelayan supaya berhati-hati dan tidak terkena penyu ini," katanya.

Ahmad Samsuri berkata selain itu semua individu harus mempertingkatkan peranan dan disiplin mereka sepanjang melakukan aktiviti di air dengan tidak membuang sampah dan sebagainya dalam menjaga keseimbangan ekosistem di lautan.

Terdahulu sebanyak 41 kes kematian penyu direkodkan di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, punca kematian reptilia marin terancam itu adalah akibat penggunaan pukat tunda di samping aktiviti pelancongan dan lain-lain lagi.

Sehubungan itu Azman berkata pindaan Enakmen Penyu 1951 yang berkuatkuasa 1 Jun lalu diharap dapat mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap kelestarian penyu.