KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan 5 Mei depan sebagai cuti peristiwa di negeri itu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar  berkata keputusan itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata dengan pengumuman itu dapat memberi peluang kepada rakyat khususnya golongan penjawat awam untuk berhari raya lebih lama bersama keluarga.


“Mesyuarat Kerajaan Negeri melalui punca kuasanya yang ada telah bersetuju untuk mengistiharkan cuti peristiwa pada  5hb Mei hari Khamis depan sekiranya hari raya jatuh pada hari Selasa 3hb Mei.

"Untuk memudahkan oleh kerana kalau hari raya pertama tu 3hb pada hari Selasa, hari Rabu adalah hari raya juga. Cuti hari Khamis sehari yang ‘tersepit’ di situ,” katanya.


Ahmad Samsuri mengumumkan cuti berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Wanita Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Terdahulu tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Raja-Raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Tarikh Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.