Terengganu umum bantuan RM500 untuk petani, penternak, nelayan positif COVID-19

Bernama
Jun 7, 2021 09:18 MYT
Setakat ini, seramai 60 orang nelayan, petani dan penternak telah disahkan positif COVID-19 dan layak menerima bantuan kewangan itu. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan nasib golongan petani, penternak dan nelayan yang positif COVID-19, kerajaan Terengganu hari ini mengumumkan bantuan pembayaran tunai RM500 secara sekali bayar (one-off) untuk meringankan beban mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata setakat ini, seramai 60 orang petani, penternak dan nelayan telah disahkan positif COVID-19 dan layak menerima bantuan kewangan itu.
"Sumbangan ini bukanlah besar, namun ia cukup menggambarkan keprihatinan pentadbiran negeri kepada mereka yang telah menyumbang tenaga membekalkan sumber makanan selama ini serta memberi sedikit khabar gembira buat mereka.
"Melalui insentif ini, ia diharap memberikan suntikan motivasi kepada warga tani, nelayan dan penternak untuk terus berbakti seterusnya menyemarakkan lagi aspirasi Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bantuan itu akan disalurkan secepat mungkin dan jabatan yang terlibat telah mengumpul data lengkap mereka yang dikenal pasti agar tiada yang tercicir atau terpinggir, katanya.
-- BERNAMA
#terengganu #kerajaan negeri #bantuan #RM500 #nelayan #petani #penternak #COVID-19