PEKAN: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Iveco bertindak keluar dari kenderaan yang dipandunya sementara menanti ketibaan bantuan selepas terlibat dalam kemalangan.

Tindakan itu dilakukan lelaki berkenaan sejurus kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terhumban ke bawah bukit di Kampung Aceh, di sini, pagi tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat Pekan yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.07 pagi mengerahkan sepasukan enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat sebuah pacuan empat roda telah terbabas ke bawah bukit. Pemandu kenderaan terbabit telah berjaya menyelamatkan diri dan terbaring diatas pacuan empat roda tersebut.

"Anggota bomba kemudiannya bertindak menyelamatkan mangsa yang cedera dengan menggunakan pengusung (stretcher)  dan membuat rawatan awal," kata jurucakap pasukan keselamatan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut jurucakap itu, bantuan daripada agensi luar iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut datang membantu dan mangsa diserahkan kepada pihak APM untuk tindakan selanjutnya.

"Anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian dan  kenderaan terbabit sebelum menamatkan operasi pada pukul 6.38 pagi," ujarnya lagi.