Terima kasih Malaysia ucap selamat hari lahir 'ke-29' saya - Siti Hasmah

Sinar Harian
Julai 13, 2018 00:29 MYT
Siti Hasmah mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengucapkan selamat hari lahir untuknya.
Selang dua hari sambutan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, rakyat Malaysia sambung meraikan 'birthday' buah hatinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Dr Siti Hasmah dalam video berdurasi 1.30 minit yang dipaparkan melalui Facebook Dr Mahathir, manis mengenakan baju kurung warna hijau kelihatan sibuk membaca kad ucapan hari lahir yang dikirim oleh rakyat, memotong kek dan menyantuni tetamu.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengucapkan selamat hari lahir untuknya.
"Saya terima banyak ucapan selamat ulang tahun kelahiran, bukan sahaja melalui kad tetapi juga melalui media sosial, yang bertalu-talu mengucapkan selamat hari jadi yang 'ke-29 tahun'.
"Mereka mendoakan saya berusia panjang, sihat, murah rezeki dan sebagainya. Terima kasih banyak," katanya dengan reaksi ceria dan gembira.
Rakaman video itu menunjukkan sambutan ulang tahun kelahiran wanita pertama Malaysia itu bersama kakitangan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Pada Khamis, 12 Julai, Dr Siti Hasmah menginjak usia 92 tahun manakala, suaminya, Dr Mahathir, 93 tahun pada 10 Julai lalu.
#10 Julai #12 Julai #Facebook #hari jadi #isteri #kelahiran #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Siti Hasmah Mohd Ali #terima kasih #ulang tahun #video