KUALA LUMPUR: Di sebalik enam tuduhan mahkamah terhadapnya, Tan Sri Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan mengajak rakyat turun ke jalanan untuk membela dirinya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkara, rakyat sedang mengalami kesusahan hidup dan beliau enggan membebankan rakyat untuk membela dirinya.

Sebaliknya, apa yang diharapkan bekas Perdana Menteri itu ialah penyokongnya menitip doa supaya beliau diberikan keadilan dan serta dilindungi oleh Allah.

"Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya.

“Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus. Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih.

“Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. This is the price that I have to pay (ini harga yang perlu saya bayar)," kata Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu berkata demikian pada sidang media selepas selesai proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Dalam kenyataan itu juga, Muhyiddin, 76, mendakwa pihak berkuasa hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.

Tambah beliau, pendakwaan terhadapnya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

"Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah mengurniakan rahmah dan inayahNya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk.

"Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil," tegas beliau lagi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu meminta semua penyokongnya bertenang dan beri peluang kepadanya untuk membela diri melalui proses undang-undang.

Hari ini, Muhyiddin berdepan dakwaan sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan minta untuk dibicarakan.