Mengikut gambaran presiden dan ketua pegawai eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann, model kereta terbaharu syarikat beliau adalah yang paling berprestasi tingi, terpantas dan paling tulen yang pernah dihasilkan untuk pengeluaran bersiri. Namun begitu, model Aventador LP 750-4 yang dimaksudkan beliau bertambah unik kerana hanya 500 unit akan dijual kepada pembeli serata dunia. Ia juga Lamborghini pertama yang mempunyai bumbung ‘open-top’ yang diberikan spesifikasi ‘Superveloce’ (SV).

Lamborghini Aventador LP 750-4 Superveloce Roadster ini telah dipertontonkan kepada umum buat pertama kali di Minggu Kereta Monterey, California.

Sebagai sebuah Superveloce, prestasinya telah meningkat sebanyak 50hp kepada 750hp (seperti yang dimaksudkan oleh nama kereta ini) yang datang daripada enjin 6.5-liter V12. Tork adalah 690Nm.

Berat juga telah dikurangkan kepada 1,575kg iaitu 50kg lebih rendah berbanding Aventador LP 700-4 Roadster. Dengan nisbah 2.1kg bagi setiap kuasa kuda, SV baharu ini dikatakan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.9 saat. Kelajuan maksimum pula boleh melampaui 350km/j.

Kotak gear digunakan adalah serupa dengan yang dipasang pada LP 700-4, automatik 7-kelajuan ISR yang dihasilkan khas oleh Lamborghini untuk model Aventador.

Untuk pemanduan yang lebih lincah, kesemua tayar dipacu (4WD) dan mendapat sokongan daripada suspensi adaptif, penyerap hentak jenis ‘pushrod’ bagai kereta lumba, dan Lamborghini Dynamic Steering (LDS).

Setiap satu daripada 500 unit kereta yang akan dihasilkan akan dijual pada harga permulaan €357,000 (tidak termasuk cukai). Penghantaran akan bermula awal 2016.

(Klik untuk galeri penuh)