KOTA BHARU: Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral yang baharu dijangka siap hujung 2025.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor berkata, pembinaan terminal bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh dengan mengeluarkan ‘Request For Proposal’ (RFP) bagi projek pembangunan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu Sentral hujung tahun lalu.

Menurutnya, keseluruhan pembangunan lain akan siap dalam tempoh sembilan tahun.

"Proses RFP tergendala akibat Covid-19. Bagaimanapun, kerajaan negeri pada 1 Jun lalu memilih satu syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham kategori papan utama untuk melaksanakan pembangunan Kota Bharu Sentral di atas tanah seluas 6.948 membabitkan Stesen Bas Bersepadu, bangunan komersial dan pangsapuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim pada Isnin.

Sebelum ini, tular gambar dan video berkenaan Terminal Bas Lembah Sireh yang didakwa terlalu ketinggalan dan tidak memberi keselesaan kepada pengguna.

Mengulas mengenai masalah air di Kelantan, Azami memberitahu, Air Kelantan Sdn Bhd sudah melaksanakan perancangan jangka panjang termasuk peningkatan sumber air mentah, menaik taraf dan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta melaksanakan program penukaran paip uzur untuk mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW).

Tambah beliau, pada masa ini, sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan ialah melalui pengabstrakan air sungai (47 peratus), tapisan air sungai (29 peratus) dan air tanah (24 peratus).

"Perancangan telah dibuat untuk menakung air sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Air Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan.

"Cadangan pembinaan TAPS yang dijangka siap pada 2027 dengan kapasiti 500 juta liter sehari (JLH) dirancang di Labok, Machang," katanya.

Beliau berkata, jaminan air mentah di kawasan utara Lembangan Sungai Kelantan akan meningkat apabila TAPS siap.

"Pengabstrakan air mentah melalui takungan empangan pula akan direalisasikan bila siapnya Projek Pembinaan Empangan Nenggiri yang bermula tahun ini dan dirancang siap pada 2027," katanya. -Sinar Harian