KUALA LUMPUR: Gara-gara terpedaya dengan tawaran syarikat pelaburan mata wang asing yang menawarkan keuntungan tiga peratus dalam tempoh tiga minit selepas sesuatu pelaburan dibuat, seorang jurujual wanita berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM382,517.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa berusia 36 tahun, telah melayari satu laman web luar negara pada 29 Mac lepas dan diberi penerangan mengenai syarikat pelaburan, yang mendakwa mengusahakan produk pertanian hijau, industri kesihatan hijau dan industri tenaga hijau.

"Pengadu diterangkan berkenaan pakej 'Gold Card' yang memerlukan modal berjumlah AS$150,000 (RM638,314.10) dan dijanjikan keuntungan tiga peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga minit.

"Tertarik dengan tawaran tersebut, pengadu kemudiannya membuat pelaburan dan diberikan nama pengguna serta kata laluan untuk mengakses rangkaian pelaburan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas mendengar penerangan tersebut, mangsa telah membuat 27 transaksi berjumlah RM382,517 ke enam akaun berbeza bagi tujuan pelaburan itu, bermula pada 29 Mac hingga 18 April lepas.

Katanya, pengadu berasa tertipu kerana tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan dan masih diminta membuat transaksi tambahan pelaburan lagi, sebelum membuat laporan polis pada 19 April lepas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pelaburan tidak sah, serta menghubung pihak polis untuk sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan.

-- BERNAMA