MELAKA: Akibat teruja untuk menerima hadiah barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira AS$79,000 (RM331,168), seorang peniaga di sini kerugian RM117,759 setelah terpedaya dengan kenalan di media sosial.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata lelaki berusia 42 tahun itu mengenali suspek yang dikenali sebagai Davis di laman sosial Facebook pada 20 November lepas, sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan dijanjikan hadiah tersebut sebagai tanda perkenalan.

Beliau berkata, dua hari selepas itu mangsa menerima panggilan yang mendakwa daripada syarikat kurier dan terdapat bungkusan untuknya daripada Davis.

"Bagaimanapun mangsa telah diminta untuk membuat beberapa bayaran, antaranya caj pelepasan barangan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mendapatkan bungkusan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan.

Abdul Majid berkata, mangsa telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke enam akaun berbeza berjumlah RM117,759 dalam tempoh 22 November hingga 14 Disember lepas.

Katanya, mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu apabila masih belum menerima barangan yang dijanjikan walaupun pembayaran tersebut telah dibuat, malah diminta membuat bayaran tambahan.

Menurut Abdul Majid, susulan laporan yang dibuat peniaga itu pada 16 Disember lepas, tiga lelaki dan tiga wanita warga Afrika, berusia 35 hingga 40 tahun, telah ditahan di dua pangsapuri di Puchong, Selangor dalam dua serbuan berasingan antara 10 malam hingga 3 pagi pada 30 Disember lepas.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut, selain didapati terlibat dalam dua lagi kes penipuan penghantaran barang.

Pihaknya turut merampas empat komputer riba, enam telefon bimbit dan satu bungkusan tertera 'Pos Laju' bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

-- BERNAMA