TH agih untung 3.1 peratus kepada 9 juta pendeposit

Astro Awani
Mac 2, 2021 04:10 MYT
Jumlah deposit di Tabung Haji mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021.
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10% selepas zakat, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020, kepada kira-kira sembilan juta pendepositnya.
Ia lebih baik berbanding 3.05% pada 2019, menurut TH dalam satu kenyataan hari ini.
Agihan keuntungan bagi tahun 2020 tersebut melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH pada 2020 yang kekal positif.
Ia meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 susulan penularan wabak COVID-19.
"Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.
"Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” tambahnya.
Zulkifli berkata, jumlah deposit di TH mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021.
Ia merupakan paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.
Pada masa sama, TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada 2019.
"Oleh itu, para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.
"Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara," kata TH.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara bermula pukul 8 malam ini hingga pukul 12 tengah hari esok (3 Mac) bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari esok.
Ia boleh dilakukan menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat serta saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.
#Tabung Haji #COVID-19 #ekonomi #Islam #pandemik #Malaysia #zulkifli mohamad al bakri #agihan keuntungan #untung #zakat #zakat wang simpanan #asnaf #aplikasi