KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran haji bagi tahun 2023 secara berperingkat mulai Rabu ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata ia melibatkan seramai 31,600 jemaah haji, dengan TH mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020.

"Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji akan dikeluarkan bermula pada hari  Rabu, 22 Mac secara berperingkat dan bakal haji terpilih boleh menyemak tawaran haji melalui aplikasi THiJARI.

"TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023.

"Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan. 

"Bakal haji  perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Jelas Amrin lagi, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac ini, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram.