BANGKOK: Thailand merancang untuk memendekkan tempoh kuarantin mandatori daripada 14 hari kepada tujuh hari bagi pelawat yang telah mendapat vaksinasi untuk memasuki negara itu, bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirankul berkata pelawat yang telah selesai mendapat vaksinasi lengkap dalam tempoh tiga bulan sebelum perjalanan mereka, harus menunjukkan keputusan ujian negatif bagi saringan COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas untuk menjalani kuarantin selama tujuh hari.

"Bagi pelawat yang belum divaksin tetapi mempunyai sijil bebas jangkitan COVID-19 perlu menjalani kuarantin 10 hari," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pelawat dari Afrika masih perlu menjalani tempoh kuarantin 14 hari kerana varian Afrika Selatan yang mudah merebak.

Rancangan itu masih belum mendapat kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) yang akan bermesyuarat Isnin depan, dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.

Thailand yang memulakan program vaksinasi COVID-19 pada 28 Feb lepas telah memberi vaksin kepada 27,497 orang, kebanyakan petugas barisan hadapan.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 26,441 kes COVID-19 dengan 85 kematian.

-- BERNAMA