KUALA LUMPUR: Sambutan Thaipusam pada Selasa di kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, Malaysia yang sering menarik beratus ribu penganut Hindu setiap tahun, dan beribu-ribu lagi pelancong, sekali lagi akan menyaksikan sambutan sederhana.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut sambutan berwarna-warni dan meriah itu di Malaysia disambut pada skala yang dikecilkan, yang mengecewakan ramai penganut dan pelancong.

Satu-satunya acara yang masih boleh disaksikan adalah pembawa 'paal koodam' berpakaian kuning yang membawa belanga berisi susu dan perarakan pedati berhias. Meskipun dijalankan dalam skala yang terhad, ia memperlihatkan juga sambutan perayaan itu.

Ini berikutan pandemik COVID-19 yang berterusan dan SOP ketat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara bertujuan membendung pandemik itu, terutama dengan kemunculan varian Omicron yang dikatakan lebih mudah berjangkit.

Selain kavadi tidak dibenarkan oleh pengurusan kuil, bilangan penganut yang memasuki perkarangan kuil juga dihadkan kepada 9,000 orang pada hari sambutan, menyebabkan ramai yang terpaksa melupakan hasrat menyambut Thaipusam di Batu Caves dan beberapa kuil besar lain tahun ini.

Pada hari Thaipusam, 18 sesi upacara sembahyang untuk Dewa Murugan dari jam 5 pagi hingga 11 malam akan dibenarkan dengan setiap sesi hanya memuatkan 500 orang, jumlah yang sangat kecil berbanding Thaipusam sebelum COVID-19.

Meskipun Thaipusam turut disambut di selatan India, Mauritius, Afrika Selatan, Singapura dan Sri Lanka, perayaan di Batu Caves dan kuil Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang di Malaysia merupakan sambutan terbesar dan diikuti secara meluas oleh diaspora India selatan.

Tinjauan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mendapati pengurusan kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengehadkan bilangan penganut yang datang ke kuil. Hanya beberapa gerai menjual bunga untuk sembahyang dan gerai makanan dibuka di perkarangan kuil.

Situasi serupa juga dilihat di kuil-kuil lain di Malaysia yang sebelum ini meraikan Thaipusam secara besar-besaran, termasuk di kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, di Ipoh, Perak.

Perayaan Thaipusam disambut oleh penganut agama Hindu di seluruh dunia pada Selasa (18 Jan) di bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, bagi memperingati peristiwa ketika Dewa Murugan menerima tombak suci daripada ibunya Dewi Parvati, untuk menghapuskan syaitan jahat, Soorapadman, dan memulihkan kembali kemakmuran dan kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA