Transparency International - Malaysia (TI-M) melahirkan kebimbangan berkenaan hak pemberi maklumat atau dikenali sebagai 'whistleblower' pada masa kini.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan wujud unsur penyelewengan dalam mana-mana institusi kini gusar untuk menyalurkan maklumat.

Beliau pada masa sama mengkritik tindakan penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

"Saya rasa perlu ada penjelasan di sebalik penahanan mereka (Khairuddin dan Matthias).

"Mereka adalah pemberi maklumat. Selepas ini, rakyat akan lihat jika wujud sebarang unsur penyelewengan, mereka tidak akan membuat sebarang laporan kerana gusar dikenakan tindakan di bawah SOSMA," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Jelas Akhbar, kerajaan sebelum ini telah berjanji bahawa SOSMA akan dikenakan terhadap pengganas mahupun militan Negara Islam (IS).

"Jika polis mempunyai alasan kukuh yang menyatakan mereka berdua menggugat keselamatan negara, mereka sepatutnya didakwa di bawah akta yang sepatutnya.

"Penahanan mereka selama 28 hari tanpa perbicaraan merupakan tindakan salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan.

Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

Pada 23 September, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA 2012 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara.

Pada 8 Oktober pula, Matthias ditahan ketika melawat anak guamnya di ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan.