GEORGE TOWN: Tiada aduan diterima daripada peniaga mahupun pengguna berhubung kekurangan bekalan telur ayam di Pulau Pinang sejak Januari hingga hari ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, A. Mogan berkata berdasarkan pemantauan pihaknya bekalan telur ayam di negeri itu masih stabil dan mencukupi.

Katanya, permintaan tinggi sepanjang minggu cuti persekolahan kemungkinan antara faktor bekalan telur ayam kehabisan di sesetengah kawasan.

"Setakat ini, penternak dan pemborong memaklumkan bahawa stok dan bekalan telur adalah stabil di sekitar Pulau Pinang ketika ini.

"Tidak dapat dinafikan berikutan cuti sekolah, kemungkinan permintaan telur menjadi agak tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mogan berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan penetapan harga maksimun borong dan runcit untuk telur yang bermula 6 Jun lalu, harga borong dan runcit yang ditetapkan untuk telur Gred A ialah RM0.41 dan RM0.43.

Manakala harga borong dan runcit untuk telur ayam Gred B pula ialah RM0.39 dan RM0.41.

Sementara telur Gred C pula, harga borong dan harga runcit yang ditetapkan ialah sebanyak RM0.37 dan RM0.39.