KUALA LUMPUR: Tiada sebarang arahan kepada mana-mana ahli Parlimen untuk berunding mengenai pembelian minyak sawit Malaysia di Iran, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Penegasan Zuraida itu sekaligus menafikan dakwaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus bahawa beliau ke Iran membawa isu supaya negara itu membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.

“Saya mendapat pengesahan dari Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) bahawa tiada sebarang maklumat diberikan atau permintaan kepada YB Hulu Langat berkaitan perkara yang dibangkitkan di dalam artikel berkenaan,” katanya seperti dilapor portal MalaysiaNow.

Zuraida juga menyarankan supaya sebarang rundingan yang dibuat perlu dilaksanakan melalui saluran rasmi kerajaan.

BACA: "Saya bawa isu supaya Iran beli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia," kata MP Hulu Langat

BACA: "Saya cuba untuk segera pulang dari luar negara" - Ahli Parlimen Hulu Langat jawab tanda tanya 'kehilangannya'


Malah, beliau turut memaklumkan bahawa lawatan Kementerian Perusahaan, Perdagangan dan Komoditi (KPKK) ke Iran telah dirancang untuk dilaksanakan pada suku pertama 2022 dalam usaha menggalakkan lagi perdagangan sawit negara dengan Republik itu.

“Ini selaras dengan fungsi dan peranan kementerian bagi meningkatkan perdagangan sawit Malaysia di peringkat global.

“Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi (KPKK) menyedar akan potensi pasaran minyak sawit di iran dan telah adakan pertemuan bersama duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi pada 12 Oktober lalu,” jelasnya.

Zuraida turut memaklumkan bahawa antara perkara yang dibangkitkan ketika pertemuan itu ialah permohonan kerajaan Iran meningkatkan had import minyak sawit dari 30 peratus ke 40 peratus.

Pada Khamis, Hasanuddin mendedahkan kepada media, beliau berada di Iran untuk membawa tugas penting negara dengan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden negara tersebut.

Ketika banjir melanda Hulu Langat ekoran hujan lebat luar jangka di beberapa kawasan di Selangor, Hasanuddin dikecam hebat kerana memuat naik gambar berada di ketinggian 5,000 kaki di Gunung Tochal di Iran.