KOTA KINABALU:Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan semua hospital kerajaan di negeri itu tidak mengenakan sebarang bayaran bagi pengurusan jenazah COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Bagaimanapun, beliau yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri, berkata ahli keluarga boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah melibatkan bayaran tertentu dengan proses pengurusan jenazah itu dikawal selia oleh pegawai JKNS.

"Ini terpulang sepenuhnya kepada ahli keluarga terlibat. Oleh itu, saya memohon supaya mana-mana pihak tidak mengambil atau memanipulasi kesempatan yang ada untuk memperoleh keuntungan daripada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau mengulas dakwaan yang tular di laman Facebook bahawa ahli keluarga pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Sabah perlu membayar RM6,000 untuk urusan penghantaran jenazah ke kampung halaman.

Sementara itu, Masidi berkata sehingga Isnin, terdapat 102 daripada 221 sekolah menengah di Sabah disahkan mempunyai kes positif COVID-19.

Beliau berkata ia termasuk SM St Micheal di Penampang dengan lima pelajar dan empat guru didapati positif COVID-19, yang bermula daripada kontak keluarga.

Katanya lapan sekolah di Sandakan, yang sebelum ini ditutup apabila 14 guru dan empat pelajar positif COVID-19, telah dibuka semula.

-- BERNAMA