Warga asing yang tampil melakukan pemeriksaan atau ujian COVID-19 di klinik dan hospital awam tidak akan dikenakan sebarang bayaran, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata keputusan itu selari dengan Pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikeluarkan pada 29 Jan lepas.

"Kalau warga asing itu datang ke klinik atau hospital KKM untuk penyakit bukan COVID-19, mereka akan dikenakan caj fi yang ditetapkan.

"(Tetapi) untuk penyakit berkaitan COVID-19, sebagaimana seperti surat Pekeliling pada 29 Jan lalu, fi tidak akan dikenakan sama ada warga asing itu miskin atau kaya, sama sahaja (tiada caj)," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan menggesa warga asing di negara ini supaya tampil melakukan ujian saringan COVID-19 bagi mengetahui tahap kesihatan mereka berikutan peningkatan kes positif wabak itu ketika ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata semua jemaah tabligh yang tampil ke fasiliti kesihatan akan menjalani ujian kesihatan COVID-19 walaupun mereka tidak mempunyai gejala penyakit tersebut.

Beliau berkata susulan peningkatan ketara kes kumulatif positif COVID-19 dalam kalangan golongan itu, KKM membuat ketetapan semua mereka yang dikaitkan dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling baru-baru ini perlu melalui ujian saringan berbanding pendekatan sebelum ini.

"Jika mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya mereka yang bergejala akan diuji tetapi itu dulu, sekarang kita bersetuju anggota jemaah tabligh terbabit yang tidak bergejala juga akan dilakukan ujian COVID-19," katanya.

Beliau mengulas dakwaan terdapat ahli jemaah tabligh yang telah pergi ke fasiliti kesihatan beberapa kali sebelum ini tetapi mereka tidak melakukan ujian bagi COVID-19, namun kerajaan pada masa sama masih memohon untuk mereka tampil melakukan ujian kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata daripada sejumlah 6,700 peserta perhimpunan itu yang menjalani ujian saringan, 940 daripadanya disahkan positif COVID-19 atau kira-kira 62 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,518 kes positif di negara ini.

Menyentuh sama ada KKM akan mencadangkan kepada kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau melakukan 'total lockdown' berikutan peningkatan jumlah kematian akibat COVID-19, beliau berkata perkara utama yang menjadi tumpuan pihaknya ketika ini ialah meningkatkan keupayaan perubatan dan kepakaran, khususnya di Unit Rawatan Rapi.

Beliau berkata jika kematian dijadikan ukuran, kadar yang diguna pakai di seluruh dunia ialah 4.5 peratus daripada jumlah semasa sesuatu kes dan dalam konteks Malaysia, hanya terdapat 1,518 kes.

Jika mengambil kira kadar 4.5 peratus, mungkin kematian yang direkodkan dalam lingkungan 60 kes tetapi di Malaysia, kita hanya ada 14 kes kematian setakat ini, katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak COVID-19.

-- BERNAMA