KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa tiada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan dalam projek cari gali minyak antara Petrosaudi International Ltd (PSI) dengan kerajaan Venezuela dan tiada sesen pun yang pernah mengalir ke dalam akaun eskrow yang dipegang oleh firma guaman United Kingdom iaitu Clyde & Co LLP.

Peguam Alex Tan berhujah jumlah wang tidak dinyatakan yang disimpan oleh Clyde & Co adalah ‘bersih’ dan datangnya daripada kontrak penggerudian minyak yang dimeterai PSI dengan Petróleos de Venezuela (PDVSA), sebuah syarikat berpangkalan di Venezuela, dan merupakan hasil ekonomi yang sah.

Tan mewakili PSI, anak syarikatnya Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) dan Temple Fiduciary Services Limited, yang merupakan responden kedua, ketiga dan kelima dalam permohonan kerajaan Malaysia bagi menghalang Pengarah PSI iaitu Tarek Obaid, PSI dan PSOS-VZ daripada menggunakan wang yang disimpan oleh firma guaman UK itu.

Kerajaan Malaysia mendakwa wang terbabit berasal daripada dana 1MDB dalam satu usaha sama dengan PSI bagi menubuhkan 1MDB Petrosaudi Ltd pada 2010.

Pada pendengaran permohonan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini, Tan berhujah bahawa PSOS-VZ telah memeterai kontrak penggerudian minyak dengan Petroleos de Venezuela (PDVSA) dan menjalankan aktiviti itu menggunakan kapal gerudi dinamakan 'Saturn,' yang disewa daripada sebuah entiti berpangkalan di Singapura.

"PSOS-VZ tidak pernah memiliki kapal gerudi 'Saturn' manakala kontrak penggerudian itu dibiayai sendiri dan tiada dana 1MDB yang telah digunakan untuk menjalankan operasinya. PSOS-VZ melaksanakan kewajipannya di bawah kontrak penggerudian dan PDVSA dikehendaki membuat pembayaran.

"Apabila PDVSA gagal membuat pembayaran, PSOS-VZ bergantung kepada surat kredit dan ketika mereka (PSOS-VZ) terlibat dalam timbang tara, tribunal itu telah membuat keputusan yang memihak kepadanya," kata beliau sambil menambah susulan proses timbang tara itu, tribunal telah mengarahkan PDVSA untuk membuat pembayaran ke dalam akaun eskrow terbabit.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Obaid, pula berhujah bahawa afidavit sokongan yang disahkan oleh pegawai penyiasat (IO) dalam kes ini adalah berdasarkan dengar cakap dan hanya bergantung kepada laporan Jabatan Kehakiman AS (eksibit MAAA-1) serta pernyataan saksi (eksibit MAAA-3) oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"Perenggan 30 hingga 40 afidavit yang disahkan oleh IO iaitu Mohd Afiq Ab Aziz bukanlah fakta yang menyokong permohonan itu sebaliknya merupakan penemuan beliau selepas membuat kronologi fakta berdasarkan MAAA-1 dan MAAA-3.

"Kita tidak tahu bahagian mana yang diperoleh beliau daripada kedua-dua eksibit dan yang mana miliknya sendiri. Sebarang dapatan berdasarkan kedua-dua dokumen hendaklah diabaikan," katanya.

Mohd Yusof juga berkata atas asas cakap dengar, pernyataan saksi Shahrol Azral itu dibuat dalam satu perbicaraan dan tidak boleh disahkan untuk digunakan dalam permohonan ini.

"Jika Shahrol Azral memfailkan afidavit bagi permohonan ini, kami mungkin boleh melakukan pemeriksaan balas terhadapnya namun memandangkan hanya pernyataan saksi beliau dirujuk dalam afidavit IO, bagaimana kami boleh mencabar apa-apa kenyataan yang mungkin mengaitkan anak guam saya?" katanya.

Pada 16 Julai 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak terbabit daripada mengalihkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun pelangga di sebuah firma guaman yang berpangkalan di United Kingdom.

Perbicaraan di hadapan Ahmad Shahrir bersambung esok.

-- BERNAMA