KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan tiada halangan jika ada pihak di negara ini yang mahu membeli sendiri vaksin COVID-19 tetapi pihak itu mesti mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Katalah sesetengah agensi misalnya Petronas dan sebagainya (hendak membeli) kita tak boleh halang. Syaratnya ia mesti diuji selamat (oleh NPRA) dan kenalah ada lesen.. tak boleh curi-curi, seludup bawa masuk," katanya dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di RTM dan Bernama TV malam ini.

Menurutnya kerajaan juga sedang berusaha untuk membekalkan vaksin kepada hospital dan pihak swasta bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat.

"Dia (proses vaksin di fasiliti swasta) tak kena caj pasal ia tanggungan kerajaan. Kita minta mungkin hospital itu boleh caj RM14 (dibiayai Kerajaan) sekali jab macam tu dan vaksin tu percuma," katanya sambil melahirkan keyakinan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini berikutan jaminan perjalanan bekalan vaksin yang ditempah akan sampai sebelum akhir tahun ini.

"Saya diberitahu oleh menteri (berkaitan) bekalan ini (vaksin) dah mula sampai bahkan saya dimaklumkan akan sampai lebih awal daripada jadual. Dahulu kalau jadualnya tahun depan, 2022 baru dapat selesai, tetapi sekarang ini saya telah diberi jaminan katanya sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan.

“Maknanya kita boleh dapat capai herd imunnity atau 80 peratus suntikan vaksin (untuk penduduk Malaysia) sebelum akhir tahun ini," katanya.

Bagi melancarkan proses vaksinasi, Perdana Menteri berkata lebih 600 pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan setakat ini dengan PPV mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang boleh memuatkan 8,000 orang.

Katanya kerajaan juga mensasarkan seramai 150,000 orang mampu divaksin setiap hari tidak lama lagi dengan kemudahan PPV yang ada.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia akan mengikut panduan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin berhubung tempoh selang masa antara suntikan pertama dan kedua vaksin COVID-19 dalam proses pemberian vaksin itu kepada rakyat.

"Saya dinasihatkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) kita ikut cara yang diberi oleh pengeluar vaksin.  Contohnya Pfizer tetapkan buat suntikan kedua lepas 21 hari, jadi kita ikut kata dia (Pfizer), kerana mereka ada pakar yang telah membuat kajian kenapa perlu disuntik selepas 21 hari, kita tidak ada masalah dengan ini.

“ Bagi saya tak kira apapun setiap orang berhak dapat, jika Johnson & Johson sekali suntik sahaja kita ikut, jika dua dos kita ikut dua dos. Kita ikut dan patuh," katanya.

Dilaporkan berkuat kuasa 19 Mei lalu, Singapura melaksanakan strategi melanjutkan selang masa antara suntikan vaksin pertama dan kedua selama enam hingga lapan minggu berbanding tiga hingga empat minggu sebelum ini.

Strategi mengutamakan pemberian dos pertama seperti yang turut dilaksanakan oleh negara seperti United Kingdom dan Jerman itu adalah bagi melindungi lebih ramai orang menerusi pemberian dos pertama vaksin dengan lebih cepat.

Muhyiddin turut menitipkan pesanan bagi mereka yang telah lengkap mendapatkan vaksin supaya terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana jangkitan masih boleh berlaku.

"Jangan langgar SOP. Macam saya dah dua dos vaksin, setakat ini semua test saya semua negatif, tapi saya tak boleh bangga diri kerana jangkitan di luar ini masih berlaku. Kita takkan rasa selamat di Malaysia kalau seluruh dunia masih belum selamat," katanya.


-- BERNAMA