Tiada hasrat lanjut tempoh daftar e-Tunai Rakyat - Guan Eng

Aida Aziz
Januari 19, 2020 11:41 MYT
Menteri Kewangan Lim Guan Eng bergambar selepas selesai mengimbas aplikasi e-Tunai di kaunter bayaran medan selera sempena Program Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di pusat beli-belah Aeon Kinta hari ini. - Foto BERNAMA
Kementerian Kewangan tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh dua bulan pendaftaran e-Tunai Rakyat yang akan tamat pada 9 Mac depan.
Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun berkata pihaknya akan melihat dahulu sambutan terhadap program itu, yang sehingga kini begitu menggalakkan.
“Buat masa ini kita tidak ada cadangan untuk lanjutkan kerana kita bagi tempoh dua bulan, tetapi kita tunggu dan lihat kerana bila kita lihat (ada) sambutan yang baik.
“Yang penting ialah kita hendak tarik seberapa ramai yang boleh untuk beli atau jual atas talian dan kita kira kalau boleh sampai 15 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di pusat beli belah Aeon Kinta City di Ipoh pada Ahad.
BACA: Guan Eng nafi e-Tunai Rakyat tidak dapat sambutan
BACA: e-Tunai Rakyat: Kerajaan kaji masukkan terus ke BSH
Katanya, inisiatif itu adalah untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat urusan jual beli secara atas talian sekali gus mengalakkan usaha masyarakat tanpa tunai.
Menurut Guan Eng, sehingga hari ini terdapat 2.6 juta permohonan untuk mendaftar bagi pembayaran digital, dan daripada jumlah itu sebanyak dua juta telah diluluskan.
#e-dompet #e-Tunai Rakyat #Kementerian Kewangan #lanjut tempoh #Lim Guan Eng #Menteri Kewangan #transaksi tanpa tunai