SEPANG: Sehingga kini, tiada jemaah haji Malaysia dikenakan sekatan perjalanan ke Tanah Suci, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati semua jemaah haji mempunyai rekod bersih tanpa sebarang halangan sama ada dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Polis Diraja Malaysia.

"Urusan perjalanan antarabangsa mereka berjalan lancar, " katanya pada sidang media selepas meninjau operasi 'Makkah Route' jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Setakat ini, seramai 7,507 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci Mekah menerusi 27 penerbangan.

Kuota haji Malaysia bagi tahun ini adalah 14,306.

Mengenai program 'Makkah Route', Khairul Dzaimee berkata, JIM menempatkan 30 anggotanya di kaunter prapelepasan di KLIA yang bertugas secara syif dengan mereka bukan sahaja menguruskan dokumen perjalanan jemaah haji malah jemaah umrah.

Beliau berkata, terdapat 11 kaunter imigresen Arab Saudi termasuk satu kaunter khas untuk jemaah haji orang kelainan upaya (OKU) yang dikendalikan 18 anggota yang didatangkan khas dari negara terbabit.

"Anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program 'Makkah Route' ini akan memeriksa pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah mereka (jemaah haji) tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di sana," katanya.

Pelaksanaan 'Makkah Route' memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Mekah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

Tahun ini, Malaysia terpilih menyertai program 'Makkah Route' bersama empat negara lain iaitu Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh selepas terpilih menjadi negara tunggal untuk projek rintis program itu pada 2017. - BERNAMA