KUALA LUMPUR: Isu dakwaan kebocoran data peribadi awam tidak melibatkan sebarang kebocoran atau ketirisan data di pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata ATM sentiasa menitikberatkan kerahsiaan semua data, sama ada yang berada di dalam rangkaian tertutup atau terbuka.

"ATM memandang serius isu kebocoran data seperti mana yang dilaporkan, kerana ia boleh mengundang kebimbangan masyarakat awam terhadap keutuhan sistem pemantauan serta keselamatan data ATM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan dakwaan terdapat kebocoran data melibatkan entiti perniagaan tempatan, seperti dilaporkan sebuah portal tempatan hari ini.

SSM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan bahawa, semua maklumat korporat yang disimpan kepada SSM adalah selamat dan dilindungi oleh beberapa lapisan teknologi keselamatan maklumat yang diiktiraf.

"SSM akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan ini.

"SSM menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat entiti perniagaan berkaitan syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad, untuk berurusan melalui saluran yang diiktiraf SSM," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan kira-kira 1.4 juta profil syarikat tempatan yang dicuri daripada SSM, ditawar untuk dijual dalam satu forum penggodam.

-- BERNAMA