KUANTAN: Polis mengesahkan tiada kejadian rompakan di Genting Highlands, Bentong seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata tiada laporan polis diterima atau dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.

"Pihak polis juga telah menjalankan siasatan dan mengesahkan tidak berlaku kejadian rompakan sebagaimana yang didakwa di dalam video atau audio yang ditularkan di media sosial," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Beliau turut memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sesuatu yang boleh menimbulkan kegusaran atau menjejaskan ketenteraman awam.

Rakaman video yang telah tular menerusi aplikasi TikTok mendakwa kemungkinan berlaku kejadian rompakan atau kebakaran berikutan kasino di pusat peranginan itu tidak boleh diakses sama ada masuk atau keluar.

-- BERNAMA