PUTRAJAYA: Tiada kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan disebabkan oleh penerimaan vaksin COVID-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 (PICK) dijalankan sehingga kini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, menerusi kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI), hanya 20.7 daripada 1,000 dos yang diberikan mempunyai reaksi ringan.

"Kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) memastikan vaksin selamat dan tidak memudaratkan kesan sampingan yang serius.

"Daripada bermulanya program vaksinasi sehingga 30 Ogos 2021, sebanyak 34,455,366 juta vaksin telah diberi. Kadar keseluruhan laporan yang diterima pula adalah 0.53 daripada 1,000 dos.

"Daripada jumlah ini, 0.04 daripada 1,000 dos dikategorikan sebagai AEFI serius," katanya dalam sidang media pada Rabu.

BACA:  KKM kongsi lebih banyak data usaha perangi COVID-19 secara sumber terbuka - Khairy

Menurut beliau, kesan sampingan ringan yang dilaporkan antaranya sakit di bahagian suntikan, pening kepala dan kelesuan dalam kalangan penerima vaksin.

Bagaimanapun, tambah Khairy, mereka yang mengalami kesan sampingan teruk pula hanya memerlukan tempoh rawatan yang singkat di hospital.

"Sehingga hari ini tidak ada satu kes kematian menunjukkan kaitan langsung dengan vaksinasi, tetapi untuk melegakan hati rakyat saya dah bincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, kita akan keluarkan data yang banyak bermula minggu hadapan,” kata Khairy lagi.

Setakat semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melaporkan seramai 15,032,301 individu bersamaan 64.2 peratus populari dewasa telah lengkap menerima vaksin COVID-19.