LIPIS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyifatkan tiada keperluan untuk menutup operasi kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana adalah tidak wajar memaksa murid-murid untuk berpuasa jika melihat rakan-rakan mereka yang beragama Islam melakukan ibadah tersebut.

"Dalam konsep Malaysia Madani, kita hendaklah bersifat inklusif dalam menghormati bulan Ramadan, jadi kita perlu memaklumkan pada anak-anak bahawa Ramadan adalah bulan ibadah.

"Dalam masa yang sama proses untuk memahamkan (murid) yang lain itu juga harus bermula tetapi tidak bermakna mereka harus dipinggirkan dan tidak ada ruang untuk anak-anak makan.

"Jadi untuk 'non muslim' (bukan Islam) ini juga perlu diberi ruang untuk mengikuti ibadah ini tapi dalam masa yang sama perlu disokong dan disantuni oleh pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Sempena Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di sini, pada Isnin.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Fadhlina berkata, adalah tidak menjadi masalah untuk terus menyantuni murid berkenaan kerana mereka tidak terlibat dalam puasa atau ibadah tersebut.

"Mereka (murid bukan Islam) adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang melihat anak-anak orang Islam yang lain berpuasa tetapi mereka tidak terlibat dalam pesta ibadah ini, jadi mereka boleh lakukan aktivti mereka seperti biasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, pelancaran Projek 11 tersebut adalah bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan anak-anak Orang Asli.

"Selain itu, projek ini juga bagi menjamin akses pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak Orang Asli.

"Ia juga bagi memastikan persekolahan dan jaminan kepada pendidikan mereka ini terjamin dalam projek-projek khas seperti ini," jelasnya lagi.