KUALA LUMPUR: Tiada keperluan mewujudkan sebuah kementerian khusus untuk hal ehwal Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pertindihan tugas dengan kementerian sedia ada di peringkat Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri yang diwujudkan pada Mac 2020 berperanan sebagai sekretariat kepada isu-isu berbangkit berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Jadi bagi saya, tidak perlu ada pertindihan bagi bidang kuasa tersebut, biarlah BHESS hanya bertindak sebagai sekretariat atau urus setia untuk kita menyusulkan rundingan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak tanpa perlu mengganggu gugat fungsi menteri di setiap kementerian.

"Kita kena lihat prinsip untuk memberikan lebih pemerkasaan (iaitu) pemberian kuasa kepada negeri dan begitu juga devolution of authority (iaitu) penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, jadi setakat ini saya fikir kita perlu menjunjung komitmen tersebut iaitu pemerkasaan dan penurunan kuasa tanpa perlu tubuhkan satu kementerian khusus yang bertanggungjawab kepada Sabah dan Sarawak.

"Ini untuk mengelakkan berlakunya pertindihan dengan kementerian di peringkat Persekutuan, yang akhirnya akan menjejaskan usaha memberikan pemerkasaan dan penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai keperluan untuk mewujudkan kementerian khas bagi hal ehwal kedua-dua negeri itu bagi menyelesaikan isu-isu yang tertangguh.

Selain itu Armizan berkata komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah juga tidak akan mengganggu-gugat bidang kuasa, hak dan kepentingan kerajaan negeri.

"Air adalah salah satu bidang kuasa negeri sebagaimana yang terkandung dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi tidak perlu risau, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan sentiasa menghormati hak dan juga kepentingan negeri termasuklah bidang kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Lo yang ingin tahu komitmen kerajaan untuk membantu menyelesaikan isu bekalan air di Sabah seperti dinyatakan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan termasuk pendekatan mengambil alih pengurusan air di negeri itu seperti yang dilaporkan media.

Pada konvensyen itu yang diadakan 14 Mei lepas, Anwar dilaporkan berkata akan mengundang Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob bagi mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri itu.

Perdana Menteri berkata beliau amat komited dalam mencari jalan kepada isu tersebut setelah mendapat input permasalahan daripada pemimpin negeri berkenaan berhubung masalah yang membelenggu kedua-dua negeri sejak sekian lama itu.

-- BERNAMA