KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan tiada pertambahan kes positif COVID-19 di negeri itu pada hari ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 752 kes setakat ini.

Selain itu, dua kluster dilaporkan masih kekal aktif melibatkan empat kes bagi kluster Bah Arnab di Kuching dan tujuh kes (termasuk satu kes didaftarkan di Selangor) bagi kluster Putra di Bintulu.

“Bagi Kluster Bah Arnab setakat jam 12 tengah hari ini, jumlah yang telah disaring melibatkan 40 orang, 36 disahkan negatif COVID-19 dan tiada kes yang menunggu keputusan ujian makmal.

“Manakala bagi Kluster Putra, 133 telah disaring dan 109 jumlah kontak telah disahkan negatif manakala 18 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama juga, JPBN Sarawak melaporkan pertambahan dua kes yang telah pulilh dan dibenarkan discaj dari hospital masing-masing melibatkan kes di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih dan discaj setakat ini meningkat kepada 690 kes atau 91.76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak.

“Setakat ini juga, 43 kes positif masih menerima rawatan melibatkan 25 kes di HUS, tujuh kes di Hospital Miri dan Hospital Bintulu manakala empat kes di Hospital Sibu,” tambah kenyataan sama.