SIBU: Sarawak bukan 'juara' di dalam kes-kes melibatkan rasuah, malah ia patut berbangga kerana tiada kes-kes besar berkaitan rasuah dilaporkan berlaku, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata berdasarkan rekod pihaknya, trend rasuah di Sarawak dilihat tidak meningkat, dan ia lebih stabil.

Bagaimanapun beliau mencadangkan kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada kes-kes yang melibatkan tuntutan palsu dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, yang boleh mendatangkan kerugian sekiranya terus dibiarkan berlaku.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai 'Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah: Cabaran dan Masa Hadapan' pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2022 di sini semalam.

Azam berkata 72 kes tuntutan palsu dan 25 kes salah guna kuasa dilaporkan dari 2017-2021, dan dalam tempoh berkenaan 34 tangkapan berhubung tuntutan palsu dan 24 kes salah guna kuasa dikesan.

Azam berkata mungkin ada pegawai-pegawai awam tidak memahami undang-undang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa, dan sehubungan itu meminta SPRM Sarawak melancarkan lebih banyak lagi program pendidikan bagi meningkatkan lagi pemahaman ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan sokongan yang baik kepada SPRM di dalam melaksanakan tugasnya.

"SPRM akan menyokong kerajaan Sarawak di dalam meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam kalangan penjawat awam, mempunyai Unit Integriti dan Ombudsman serta kira-kira 80 pegawai integriti bertauliah itu menunjukkan jenis inisiatif yang dilakukan kerajaan Sarawak," tambahnya.

-- BERNAMA