Kanak-kanak lelaki tiga tahun, Muhammad Adam, yang ditemui bersendirian di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin semalam, kini berkeadaan baik dan aktif.

Laporan perubatan Hospital Tampin menunjukkan tiada kesan penderaan fizikal ditemui pada kanak-kanak itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim.

Beliau berkata kementeriannya memandang serius kejadian yang menimpa Muhammad Adam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau rapi kes ini.

"Kementerian melalui JKM telah menjalankan sesi intervensi awal bersama kaunselor terhadap kanak-kanak tersebut sebaik dia dimasukkan ke wad di Hospital Tampin.

"JKM juga akan melengkapkan siasatan untuk menempatkannya di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai iaitu datuknya yang menyatakan hasrat untuk menjaga kanak-kanak itu sebelum dia dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah sementara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohani berkata Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan Seksyen 31 dan Seksyen 33 berhubung tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan dan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan sepatutnya, merupakan satu kesalahan.

"Sekiranya individu yang melakukan kesalahan tersebut disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 31 dan denda tidak lebih daripada RM20,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 33.

"Selain itu individu yang didapati bersalah juga dikehendaki menjalani perintah khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori bagi kedua-dua Seksyen terbabit," katanya.

-- BERNAMA