KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga membangkitkan kegusaran awam.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba membangkitkan kegusaran awam.

"Masyarakat dinasihat tidak mengeluarkan atau berkongsi kenyataan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum serta membangkitkan kegusaran awam.

"PDRM memantau rapi situasi keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama atau kaum yang mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: Ketenteraman negara: PM Anwar arah pasukan keselamatan waspada

Tambah Acryl Sani, tahap keselamatan semasa terkawal dan PDRM memberikan komitmen untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksana secara berterusan demi memastikan keselamatan kekal terjamin.

Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu berkenaan menyalurkannya ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu mengenai tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba meniup sentimen kaum dan negara.

Perdana Menteri ketika sidang media selepas mesyuarat Kabinet memaklumkan sudah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk berwaspada kerana pihak yang terdesak dan merasa tercabar akan menggunakan sentimen selain rakyat  miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa kekacauan.

Kerajaan tak akan tolak ansur usaha ganggu-gugat keselamatan negara