KOTA BHARU: Tiada pengkhususan kouta bagi jemaah orang kenamaan (VIP), kerana ia hanya berdasarkan sistem pendaftaran dan senarai kuota kepada jemaah mengikut turutan seperti sebelum ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata  namun jika mereka melepasi proses rayuan dan saringan serta benar-benar berkelayakan sahaja akan dipilih untuk memenuhi kuota jemaah haji bagi tahun 2022.

"Ada yang merayu ada proses saringan dan mereka yang benar-benar berkelayakan memang layak untuk pergilah. Sebab ada jemaah-jemaah dalam kuota yang ditetapkan itu mereka tidak lepas saringan kesihatan.

"Jadi jumlah kekosongan itu ada maka dan dari jumlah kekosongan itulah akan dipertimbangkan kepada mereka yang merayu dan nama mereka ada yang tidak naik," katanya selepas menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada 13 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di sini yang musnah akibat kebakaran dan ribut baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, selebihnya pengurusan yang dibuat pada tahun ini sesuai dengan jumlah kuota yang ditetapkan.

"InsyaAllah berdoalah pada tahun akan datang supaya kondisi COVID-19 semakin pulih, kerajaan Arab Saudi akan pertimbangkan kepada mereka yang merayu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk turut menasihatkan kepada jemaah haji supaya menjaga kesihatan dan membawa bekalan ubatan sepatutnya bagi memastikan dapat mengerjakan ibadah haji dalam keadaan sihat supaya dapat melakukan mengerjakan ibadah mereka dengan sempurna.

"Suasana cuaca yang agak panas menyebabkan kesihatan mereka terjejas. Saya menasihatkan kepada jemaah haji yang telah pergi dan rombongan akhir selepas ini supaya menjaga kesihatan dan membawa bekalan ubatan sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, berhubung isu segelintir jemaah yang menipu status kesihatan mereka Ahmad Marzuk turut menegaskan pihak Tabung Haji (TH) sedang menyiasat perkara (penipuan status kesihatan) yang dilakukan segelintir jemaah yang menunaikan haji baru-baru ini.

Ditanya mengenai air zam zam yang tidak boleh dibawa pulang, beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada jemaah dimana mereka tidak boleh membawa pulang air zam-zam.

Ini kerana untuk membolehkan air tersebut sampai ke negara Malaysia dengan cara yang lebih selamat melalui agensi yang berdaftar menguruskannya.

"Kita dapat makluman air zam-zam tidak boleh di bawa pulang.

"Tak timbul tak boleh bawa pulang tapi ada caranya berhubung perkara itu," katanya lagi.