KUALA LUMPUR: Tempoh moratorium pelanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) tidak akan disambung selepas 30 September ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan menjelaskan, aktiviti pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan oleh badan penguat kuasa jabatan tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula dilaksanakan di lapangan mulai 1 Oktober ini.

"Orang ramai diingatkan agar memperbaharui lesen masing-masing yang tamat tempoh sebelum tarikh tersebut.

"Pemilik kenderaan yang LKM tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans jika diminta pihak berkuasa," jelas kenyataan itu.

 
Sumber Facebook jabatanpengangkutanjalanmalaysia

Orang ramai disaran membuat urus niaga secara dalam talian iaitu melalui portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my/public/login.zul) mahupun rakan strategik JPJ iaitu myEG.

Tambah kenyataan itu, sebarang urus niaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian boleh dibuat di kaunter JPJ secara janji temu (online appointment/call-in).

Sementara itu, dalam perkara berkaitan, kenyataan JPJ menjelaskan, pejabat Pos Malaysia akan memulakan urus niaga JPJ di lebih 650 cawangan seluruh Malaysia bermula 9 Ogos ini.

JPJ juga menjelaskan akan memastikan bekalan dan stok dokumen keselamatan LKM dan LMM mencukupi bagi tujuan urus niaga pembaharuan LKM dan LMM oleh orang ramai.

"Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat bagi tujuan mengelakkan daripada berlakunya penularan virus.

"JPJ amat komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam dan penguatkuasaan dilakukan secara efektif dan efisien bagi menjamin kelestarian industri pengangkutan jalan di negara ini," jelas kenyataan itu.