DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh tawaran pembayaran saman sehingga 80 peratus yang berakhir semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ketika ini tiada keperluan pihaknya untuk berbuat demikian dan kaunter trafik di seluruh negara juga dilihat tidak lagi sesak seperti sebelum ini pada minggu terakhir.

Katanya lagi kebanyakan saman tertunggak sudah dilunaskan orang ramai sepanjang tempoh yang diberikan.

“Kalau mengikut statistik juga kita dapati bahawa dalam tempoh 9 hingga 31 Disember yang telah tamat kita dapati sejumlah 8.6 juta saman telah diselesaikan.

“Ini adalah 8.6 juta saman diselesaikan berbanding dengan hampir tak salah saya, 12.2 juta saman yang diselesaikan bagi keseluruhan tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Jongok Batu di Dungun, Terengganu.

Sebelum ini, PDRM melanjutkan tempoh tawaran diskaun saman itu sehingga 31 Disember 2021 sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.