PADANG BESAR: Enam individu yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta seorang warga Pakistan telah dikenakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis.

Menurut Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah, menyatakan ianya susulan kesemua mereka telah melakukan kesalahan dengan memandu tanpa mempunyai lesen yang sah ketika Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWa) yang dijalankan sejak 1 April lalu.

Tambahnya, tujuh kenderaan yang dipandu mereka turut disita melibatkan tiga buah motosikal, tiga buah kereta dan sebuah lori, mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati kesemua pemilik kenderaan berkenaan adalah warga tempatan dan mereka telah diberikan notis saman selepas membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka.

"Pemberi kenderaan itu adalah warga Malaysia, (mereka adalah individu) yang memberi pinjam atau mungkin, menyewa kepada warga asing tersebut,

"(Kita telah mengenakan saman mengikut akta) yang mana (menyatakan bahawa) warga asing tidak boleh ada lesen memandu, (khususnya bagi mereka yang berstatus) pemegang kad UNHCR.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui media selepas Op MeWA yang dilakukan di Bulatan berdekatan Pintu Sempadan Padang Besar-Thailand, pada Selasa.

Dalam operasi yang berakhir sekitar jam 1 tengah hari tadi, 33 kenderaan warga asing dikenakan saman atas pelbagai kesalahan, terutama melibatkan nombor pendaftaran dan perlindungan insurans.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan pemilik kenderaan terutamanya warganegara Malaysia yang menyediakan perkhidmatan menyewa motosikal dan motokar kepada kepada warga asing agar tidak melakukan perkhidmatan tersebut.

Tindakan tegas termasuk di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh dikenakan yang mana jika sabit kesalahan akan didenda sehingga RM500,000.