SARIKEI: Terkesan selepas melihat ramai belia dan ibu tunggal tidak memiliki pekerjaan mendorong Pengurus Big Boss Burger, Mohammad Fadilah Ali Seman menyediakan platform perniagaan kepada kumpulan berkenaan.

Bertitik tolak daripada itu, pemuda berusia 35 tahun itu menyediakan modal lebih RM30,000 bagi memboleh kumpulan sasar memulakan perniagaan menjual burger.

Bermula di Sarikei, bantuan modal perniagaan kini telah dikembangkan ke 16 kawasan di Sarawak, termasuk di Sibu, Miri dan Bintulu.

Niatnya satu, untuk memastikan kumpulan berkenaan keluar daripada kepompong kemiskinan, sekali gus mampu menjana pendapatan.

Menerusi inisiatif dikenali sebagai Belia Big Boss, peserta diberikan modal sekitar RM2,500 termasuk peralatan bagi memulakan perniagaan menjual burger atas jenama Big Boss.

"Tercetusnya program ini kerana saya tengok banyak rakan yang memerlukan pendapatan, para belia yang perlu pekerjaan dan membantu keluarga mereka terutamanya ketika COVID-19.

"Saya juga tengok ibu-ibu tunggal dan keluarga (yang kurang berkemampuan) perlu tambah pendapatan mereka untuk teruskan kehidupan mereka.

"Kita sediakan hampir 80 peratus termasuk stor burger dan perkakas bagi memudahkan mereka terus berniaga dan tidak membebankan golongan tersebut," katanya kepada Astro AWANI di sini, baru-baru ini.



Mengulas lanjut, bapa kepada lima cahaya mata itu menambah sejak program itu diperkenalkan pada Disember 2019, lebih 16 individu telah berjaya memulakan perniagaan mereka termasuk di Sibu, Miri dan Bintulu.

Selain modal, peserta turut diberikan latihan keusahawanan bagi memastikan mereka mampu meningkatkan skala perniagaan.

Bercerita mengenai permulaan perniagaan pula, Fadilah yang dibantu isteri, Nurziana Zulmadia, 31, berkata, dia mula menubuhkan Big Boss Burger pada 2009 sebelum dijenamakan semula pada 2016.

Bermula dengan hanya gerai kayu, dia kemudian berjaya memiliki food truck pertama di Sarikei.

"Daripada stor kayu kita naik taraf, sehingga lah perniagaan makin maju, kita cadang beli food truck untuk memudahkan kami pergi ke pesta-pesta," katanya.

Hasil daripada kejayaan mengusahakan perniagaan burger tersebut, dia kini menyasarkan untuk membuka peluang perniagaan sekurang-kurangnya kepada 20 individu lagi menerusi Program Belia Big Boss.

Jelasnya, banyak permohonan diterima menyertai Program Belia Big Boss, namun pihaknya terpaksa membuat tapisan bagi mengelakkan peserta bersaing di kawasan lokasi perniagaan yang sama.

"Kita ada sesi temu duga juga untuk mengenalpasti peserta dan kriteria yang saya utamakan antaranya, pernah berniaga, belia dari keluarga yang latar belakang daif, ataupun anak yatim piatu," ujarnya.