Sarawak hari ini tidak melaporkan pertambahan kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 700 kes setakat ini.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis juga melaporkan tiada pertambahan bagi kes pulih dan discaj.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini kekal seramai 676 orang atau 96.57 peratus.

“Selain itu, JPBN Sarawak turut melaporkan bahawa lima kes positif masih menerima rawatan di wad isolasi hospital,” menurut kenyataan itu.

Ia melibatkan dua kes di Hospital Bintulu manakala satu kes masing-masing di Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Sibu dan Hospital Miri.

Kenyataan sama juga melaporkan tiga kes Person Under Investigation (PUI) baharu dan tiada kes dilaporkan masih menunggu keputusan ujian makmal.

Antara lain, kluster Alam di Bintulu kekal sebagai satu-satunya kluster COVID-19 yang masih aktif setakat ini melibatkan satu kes yang masih menerima rawatan di Hospital Bintulu.