KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan tiada pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu dilaporkan di negeri itu.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di sana kekal dengan 713 kes setakat ini.

Selain itu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat turut menyatakan bahawa tiada kluster COVID-19 yang dilaporkan aktif.

“Dimaklumkan juga bahawa tiada kes baharu yang pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih dan dibenarkan discaj setakat ini kekal 682 orang atau 95.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” kata kenyataan itu.

Sehingga kini, 12 kes masih menerima rawatan di hospital melibatkan enam kes di Hospital Umum Sarawak (HUS), lima kes di Hospital Miri dan satu kes di Hospital Bintulu.

“Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini dan tiada kes kematian baharu dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kematian kekal seramai 19 kes atau 2.66 peratus manakala lapan kes Person Under Investigation (PUI) baharu dilaporkan dan tiada kes PUI yang menunggu keputusan ujian makmal,” tambah kenyataan berkenaan.