Tiada petugas di Penjara Reman positif COVID-19 setakat ini

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 9, 2020 06:48 MYT
Sehingga hari ini, tujuh individu membabitkan banduan Penjara Reman didapati positif COVID-19 dan mereka sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Keadaan di Penjara Reman Pulau Pinang masih terkawal dan tiada petugas penjara yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 didapati positif setakat ini.
Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, sehingga hari ini juga, tujuh individu membabitkan banduan didapati positif COVID-19 dan mereka sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Setakat hari ini belum ada lagi petugas penjara yang didapati positif COVID-19 namun kita masih menunggu keputusan ujian saringan (COVID-19) petugas lain yang belum keluar dan kita sama-sama berdoa agar tiada yang positif," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mohamed Jusoh berkata, enam daripada tujuh (banduan) didapati positif COVID-19 itu merupakan kontak rapat dan tinggal dalam satu sel dengan lelaki yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.
Pihak penjara terus mengambil langkah segera dengan mengasing serta kuarantin mereka bagi membendung penularan wabak tersebut.
Katanya, proses ujian saringan COVID-19 masih dijalankan di Penjara Reman Pulau Pinang dan ketika ini semuanya berjalan lancar dan berharap tiada pertambahan kes hari ini.
Menurut Mohamed Jusoh, jika ada keperluan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan membuka pusat rawatan khas bagi merawat tahanan di dalam penjara itu yang dapati positif COVID-19.
Beliau berkata, ketika ini jumlah petugas di Penjara Reman Pulau Pinang mencukupi iaitu kira-kira 320 orang dan tiada keperluan lagi untuk meminta bantuan daripada penjara lain membantu di situ.
Ketika ini juga, Mohamed Jusoh berkata, cuti semua petugas di penjara dibekukan bagi memastikan proses penugasan berjalan lancar tanpa sebarang masalah dalam memastikan semua banduan berada dalam keadaan baik.
"Jika terdapat keperluan untuk petugas di penjara ini ke penjara lain bagi membantu penugasan termasuk Kedah, ia bergantung kepada arahan daripada pihak Jabatan Penjara Malaysia," katanya.
Sementara itu, Mohamed Jusoh berkata, proses sanitasi di dalam penjara turut dilakukan oleh kakitangan penjara dengan bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
Proses dilakukan hampir 24 jam sehari bagi memastikan kawasan tersebut bersih terutama dalam membendung penularan wabak COVID-19.
"Saya harap Kluster Penjara Reman tidak merebak teruk kerana kami mengambil langkah awal dan mengikut prosedur operasi standard yang ketat," kata beliau lagi.
Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Penjara Reman di penjara berkenaan selepas saringan mendapati tujuh orang postif COVID-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober lepas.
Sehingga Khamis , seorang lagi banduan di penjara itu disahkan positif COVID-19 menjadikan keseluruhan lapan kes setakat ini.
#Penjara Reman #pulau pinang #tiada petugas #positif COVID19 #banduan #Kluster Penjara Reman #Hospital Pulau Pinang