Selebriti sensasi Azwan Ali, yang telah mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, memilih untuk tidak menjalankan kempen secara tradisional.

Dia mengakui tidak akan memasang poster seperti kebiasaan yang dilakukan calon PRU lain, sebaliknya, katanya, dia ada pendekatan tersendiri.

“Cara-cara tu semua old fashioned (fesyen lama). It is not my level (Bukan taraf saya). Kerana, saya ada cara tersendiri,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.

Bagaimanapun, dia yang akan bertanding sebagai calon Bebas menggunakan logo Gajah menentang abangnya Datuk Seri Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa itu tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai rancangannya.

BACA: Azwan pertaruhkan logo gajah, yakin cipta kejutan

BACA: Bertanding dengan logo gajah, ini 8 perkara anda perlu tahu tentang Azwan Ali


Terdahulu, Azwan mengumumkan lima manifesto dalam misinya bagi memenangi hati penduduk di DUN berkenaan.


Antaranya konsep turun padang setiap hari demi rakyat, hapuskan politik rasuah serta merta, menyelesaikan masalah air di Selangor, menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat dan bersedekah bersama rakyat.

Katanya, kesemua manifesto yang disenaraikan adalah berdasarkan kajian yang dijalankan menerusi maklum balas yang diterima dari penduduk berbilang bangsa di Bukit Antarabangsa.

Azwan yang juga digelar Diva AA berkata, dia sudah bersedia untuk berentap dengan abangnya dan akan berjuang walau tidak punya jentera yang besar seperti parti-parti politik lain.