SHAH ALAM: Tiada rancangan atau perbincangan di antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan untuk melaksanakan Memorandum Persefahaman (MoU) 2.0.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) juga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu berkata, MoU yang termeterai sebelum ini kekal sehingga Parlimen dibubarkan.

"MoU 2.0 belum bincang lagi, kita masih lagi MoU yang lama dan kita sedang menunggu tarikh Sidang Parlimen untuk (bentang) Akta Lompat Parti," katanya kepada pemberita.

Mohamad atau lebih dikenali mesra dengan panggilan Mat Sabu itu ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Amanah di Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad pula berkata, tidak timbul keperluan bagi membincangkan mengenai MoU 2.0 dengan kerajaan ketika ini.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, yang penting adalah kerajaan perlu memenuhi apa yang terkandung dalam MoU sedia ada yang telah dimeterai antara PH dan kerajaan sebelum ini.

"Satu perkara yang masih belum selesai adalah Akta Lompat Parti jadi itu yang kita desak untuk dibentang dan diluluskan sebelum Sidang Parlimen Julai ini," katanya.


Artikel asal di Sinar Harian


Terdahulu, pada 13 September 2021, satu MoU dan Transformasi Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dan PH dimeterai atas titah Yang Dipertuan Agong, demi kemaslahatan rakyat dan ekonomi negara.