KUALA LUMPUR: Tiada sebarang permit sambutan tahun baharu diluluskan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena malam ambang tahun baharu esok, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata langkah itu untuk mengelakkan risiko penularan wabak COVID-19.

Hazani berkata pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara diarah untuk melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan-kawasan tumpuan bagi memastikan tiada orang ramai berkumpul dan melakukan aktiviti melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara.

"Saya mengingatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sambutan tahun baharu atau berkumpul beramai-ramai pada malam menjelang tahun baharu esok di mana-mana lokasi tumpuan ramai," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata tiada sebarang pertunjukan bunga api akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan pusat beli-belah Pavilion di ibu kota.

BACA: Kerajaan batal sambutan tahun baharu, gantikan solat hajat dan doa selamat - PM

Beliau berkata pihaknya juga akan menjalankan rondaan keselamatan di lokasi-lokasi tumpuan ramai bagi mencegah aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Di GEORGE TOWN, polis akan mengadakan pemantauan secara 'omnipresence' di kawasan tumpuan dan aliran lalu lintas serta sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang menjelang ambang tahun baharu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata seramai 146 pegawai dan 821 anggota polis akan menjalankan operasi berkenaan di seluruh negeri.

"Ini kerana bermula esok, Pulau Pinang berkemungkinan akan menerima peningkatan aliran trafik hingga 40 peratus sempena cuti sekolah, cuti akhir tahun dan sambutan awal tahun 2022. Pihak polis ingin mengingatkan supaya patuhi peraturan jalan raya dan dilarang sama sekali meletakkan kenderaan anda di bahu jalan," katanya.

-- BERNAMA