Tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapapun daripada kedaulatan undang-undang.

Kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua, daripada Raja-raja sehinggalah kepada perdana menteri dan menteri-menteri, kepada penjawat awam serta rakyat biasa.

"Bagi Raja-raja terdapat mahkamah khas, tetapi undang-undangnya tetap sama seperti undang-undang yang terpakai bagi rakyat biasa.

"Raja-raja juga mesti menghormati undang-undang," tulis Tun Dr Mahathir Mohamad dalam catatan terkini blog chedet.cc malam tadi.

Perdana Menteri menulis di bawah tajuk Rule of Law (Kedaulatan Undang-undang), merujuk kepada, katanya, beberapa pelanggaran undang-undang telah dilakukan tanpa tindakan diambil oleh agensi penguatkuasaan.

Dr Mahathir berkata, antara matlamat paling penting Pakatan Harapan ketika berjuang untuk menggulingkan "kerajaan kleptokratik" Datuk Seri Najib Razak adalah untuk memulihkan semula kedaulatan undang-undang.

“Najib tidak mengendahkan undang-undang apabila ia sesuai dengan dirinya. Malah, undang-undang telah disalahgunakan untuk menindas rakyat.

"Bukannya melindungi rakyat, tetapi undang-undang telah mendedahkan rakyat kepada ketakutan yang tidak diketahui, tetapi nyata,” katanya.

Menurutnya, menjadi satu kesilapan sekiranya ada yang percaya pihak tertentu kebal atau terkecuali dari undang-undang.

"Sesuatu yang membimbangkan apabila melihat pelanggaran undang-undang dilakukan secara terang-terangan atas kepercayaan salah bahawa kekebalan telah diberikan," katanya.

Dr Mahathir berkata aduan awam terhadap mereka yang mencabuli kedaulatan undang-undang adalah sah dan tidak melanggar mana-mana perundangan, malah tidak boleh disifatkan sebagai hasutan.

"Ia akan dianggap sebagai kebebasan berucap. Rakyat boleh membuat laporan terhadap perkara ini atau secara terang-terangan bercakap mengenainya," tambahnya.