"Tiada tekanan daripada mana-mana pihak. Keputusan ini adalah atas permintaan saya."

Itu kata Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika mengumumkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos 2016.

Tegasnya, beliau memilih untuk mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya apabila ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA), sebuah Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia.

"Permintaan ini adalah atas kehendak saya terutamanya apabila saya mendapat peluang untuk memberi sumbangan di peringkat antarabangsa yang boleh meningkatkan nama Malaysia dan SPRM ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya akan terus berkhidmat sebagai pegawai kerajaan sehingga bersara wajib pada 6 Dis 2020," katanya dalam Wawancara Khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, beliau juga akan menunaikan tanggungjawab sebagai pensyarah, penyelidik dan memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jelasnya, sepanjang enam tahun berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, selain kejayaan, pelbagai usaha telah dilakukan dalam membawa transformasi kepada SPRM.

"Banyak perubahan dibuat dalam SPRM terutamanya apabila kita membuat transformasi ke atas SPRM dan transformasi ini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Abu Kassim sepatutnya menamatkan kontrak jawatan tertinggi SPRM itu pada 4 Disember 2018.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Abu Kassim, 55 tahun, tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dimohonnya.

Selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis, katanya.