KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa terdapat unsur 'dua darjat' dalam siasatan yang dijalankan oleh badan itu terhadap beberapa tokoh politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah berkenaan tidak akan terlepas daripada siasatan malah perkara itu pernah diumumkan pihaknya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Tiada siapa yang akan terlepas, saya beri jaminan semuanya akan dipanggil. Di Parlimen pun sudah disebut telah dan akan memanggil, bermakna siasatan telah kita jalankan.

"Tetapi buat masa ini saya tidak boleh dedahkan berapa dan siapa, tetapi ramai yang telah kita panggil untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Bakti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini pada Sabtu.

Pada Sabtu media tempatan melaporkan, Guan Eng mempersoal tindakan SPRM menyiasat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menerima dana rasuah, tetapi tidak mengambil tindakan sama terhadap beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Guan Eng dilaporkan berkata, SPRM hanya menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dana membabitkan seorang menteri dan dua timbalan menteri hanya selepas nama mereka didedahkan semasa prosiding Mahkamah dan bukan atas inisiatif suruhanjaya itu sendiri. -- Sinar Harian