KUALA LUMPUR: Isu perkahwinan bawah umur harus diberi perhatian serius dan diambil tindakan menyeluruh oleh kerajaan dengan melaksanakan undang-undang yang terperinci mengenainya.

Kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaannya juga harus diseragamkan untuk perkahwinan semua jenis agama yang ada di negara ini.

Ini perlu kerana, menurutnya, masih ada kelompok masyarakat terutamanya komuniti di kawasan pedalaman, yang meneruskan adat dan tradisi yang membenarkan perkahwinan bawah umur, khususnya terhadap kalangan perempuan.

“Dalam masyarakat ini, kebiasaan adatnya ialah, anak yang mencapai umur baligh bagi mereka itu sudah dewasa dan mereka dah boleh dikahwinkan.

“Jadi, penerangan itu sangat penting. Kefahaman kepada masyarakat peribumi terutamanya, mengenai isu perkahwinan kanak-kanak, bahawa ia memudaratkan kanak-kanak, merompak hak asasinya khususnya hak kepada pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya SOP peraturan perkahwinan mahkamah syariah diterapkan juga kepada mahkamah sivil supaya ada keseragaman dalam tindakan terhadap sesuatu isu.

Ia termasuk antaranya, had umur minimum perkahwinan dalam setiap golongan masyarakat yang pelbagai di negara ini.

Selain itu, kata Noor Aziah, ia juga memudahkan pengurusan apabila masalah perkahwinan dan kelahiran tanpa dokumen dapat diselesaikan.

“Apabila perkahwinan itu mengikut adat dan tidak didaftarkan secara formal, maka timbullah isu anak-anak tanpa dokumen.

“Jadi saya merasakan inilah masanya kerajaan membuat undang-undang yang terperinci tentang perkahwinan, dalam masa sama membuat satu keputusan, misalnya mewujudkan umur minimum supaya perkahwinan kanak-kanak ini boleh dibendung,” ujarnya lagi.

Tonton temu bual penuh bersama Noor Aziah dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

Tiba masa kerajaan buat undang-undang terperinci perkahwinan - Suhakam


Agenda AWANI: Isu perkahwinan bawah umur