Sidang media Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bersama ibu bekas korporal Sirul Azhar Umar yang sepatutnya diadakan pagi ini, sebenarnya tiada.

Perkara itu dimaklumkan seorang staf Pejabat Agung parti itu, Saripuddin Mohd Yatim kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Katanya beliau telah menerima panggilan dari Mahfuz yang dikatakannya berada di Alor Setar dan memaklumkan bahawa beliau (Mahfuz) tidak ada membuat apa-apa jemputan sidang media dan tidak tahu menahu tentang perkara itu.

"Dia memang tidak tahu pasal sidang media ini... katanya jika ada sidang media, dia akan membuat jemputan," katanya di hadapan sekumpulan wartawan yang sedang menunggu sejak jam 10.40 pagi.

Semalam, satu mesej jemputan telah tersebar menerusi Whatsapp yang menyebut PAS akan mengadakan satu sidang media di Pejabat Agungnya bersama ibu Sirul, Piah Samat, 74 tahun, pada jam 11 pagi.

Saripuddin bagaimanapun menyifatkan pesanan tersebut sebagai palsu dan tidak pernah disebarkan oleh pihaknya.

Dalam perkembangan terbaru, Mahfuz menerusi satu kenyataan media menyatakan satu sidang media akan diadakan di KLIA pada pukul 9 malam pada 1 Mac depan, sebelum satu rombongan misi khas bersama ibu Sirul Azhar bertolak ke Australia untuk menemui Sirul Azhar di sana.

Sebelum ini, satu telesidang bersama Mahfuz dengan Sirul juga terpaksa dibatalkan selepas percubaan untuk menghubungi bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis itu gagal.

Setelah percubaan 15 kali menghubungi Sirul 'tidak berjaya', telesidang yang sepatutnya berlangsung di tempat yang sama itu ditamatkan.

Mahfuz menyatakan bahawa pihaknya telah berhubung dengan individu yang diyakini sebagai Sirul itu melalui pesanan ringkas pada pukul 10.40 pagi tadi.

Sidang media itu menjadi senyap sunyi apabila Mahfuz mula menghubungi Sirul.

Begitupun, selepas beberapa percubaan yang gagal, suasana itu berganti resah keluhan dan sesekali berderaian gelak tawa apabila beberapa individu berjenaka mengenai Sirul yang tidak menerima panggilan tersebut.

Namun, persidangan yang sepatutnya bermula pada jam 11.30 pagi itu terpaksa ditamatkan sejam kemudian setelah percubaan menghubungi Sirul berkali-kali tidak berjaya.

Kegagalan Mahfuz menghubungi Sirul turut dijadikan 'bahan lawak' apabila ada pihak yang membuat video parodi tentang panggilan tersebut.

Dalam video parodi berdurasi 48 saat itu, beliau digambarkan cuba menghubungi Sirul melalui babak lakonan Allahyarham Ahmad Nisfu dalam filem Tiga Abdul.

Meskipun turut terhibur dengan video parodi itu, namun Mahfuz menyifatkan dakwaan tidak percaya sesetengah pihak mengenai telesidangannya itu adalah halangan untuk rakyat mengetahui kebenaran kes berkenaan.

Tegas beliau, ia merupakan gangguan sekat talian yang dialaminya dan wartawan lain sejak sidang media dimulakan.

Sirul yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.